Terkini: Minta Maaf, Perjalanan Rentas Negeri Tidak Dibenarkan Lagi Bermula Hari ini

21/05/2020

Sambutan Hari Raya, Kaamatan dan Gawai hampir mendekat. Pasti ramai yang ingin balik kampung untuk menyambut bersama keluarga. Anda mungkin terpaksa membatalkan niat anda untuk balik kampung jika anda terpaksa merentas negeri.

Ini kerana pada kenyataan media pada hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa kerajaan tidak membenarkan sama sekali pergerakan atau perjalanan rentas negeri. Ini bagi tujuan menghalang penyebaran wabak Covid-19.

Malah mereka yang cuba untuk membuat pergerakan rentas negeri bukan sahaja akan diminta untuk berpatah balik, tetapi akan turut dikompaun di sekatan Jalan Raya.

Beliau menambah lagi bahawa semalam sahaja hampir 2,412 orang cuba untuk membuat pergerakan rentas negeri. Malah masih ramai yang mencuba nasib untuk mendapatkan kebenaran pergerakan rentas negeri di Balai Polis. Misalnya di Ibu Pejabat Balai Polis (IPD) Kuantan, Pahang, hampir 1,300 orang berbaris untuk memohon pergerakan rentas Negeri balik ke kampung untuk merayakan Hari Raya Aidilfitri.

Mereka sanggup untuk berhujan panas dan berbaris mencuba nasib untuk mendapatkan kebenaran berkenaan. Beliau menggesa agar rakyat melupakan hasrat balik kampung rentas negeri dan tak perlu ke Balai Polis lagi bagi memohon kebenaran pergerakan rentas negeri.

Nampak gayanya kita harus akur dan menyambut Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai di rumah masing-masing. 


DAPATKAN LANGGANAN PERCUMA BERITA TERKINI