RM 800 VS RM 1000, Bangsawan VS Marhaen, Kisah Dua Darjat. Mengapa Hukuman Berbeza? 

05/05/2020

Kita sedia maklum bahawa Malaysia sekarang adalah masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Rakyat Malaysia yang ingkar dan keluar dari rumah dan berkumpul akan didenda dan dihukum. Peraturan ini adalah perlu bagi usaha membendung penyebaran Wabak Covid-19.

Hikayat Golongan Atasan

Pada hari ini, kita telah mendengar dalam surat khabar dan media bahawa pasangan orang atasan atau golongan elit telah didenda disebabkan pelanggaran Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan. 

Pasangan yang dimaksudkan adalah Anak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurul Hidayah dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Hidayah, 41, dan suaminya bergerak dari Kajang menuju ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya iaitu dari satu kawasan berjangkit ke satu kawasan berjangkit di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Kesalahan dilakukan pada 20 April 2020, jam 9 pagi.

Kedua-dua mereka melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11, Peraturan-peraturan yang sama. pelanggaran boleh menyebabkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya 

Di kamar pertuduhan, Timbalan Pendakwaraya, Nurashikin Mokhtar memohon supaya kedua-dua mereka dikenakan denda maksimum RM1,000.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili kedua-kedua tertuduh memberi alasan anak guamnya mendapat surat jemputan dari Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad.

Sumber  Berita Harian : Nurul Zahid, suami kena RM800 ingkar PKP


Hikayat Rakyat Marhaen

Seorang ibu tunggal menarik nafas lega selepas hukuman penjara 30 hari yang dijatuhkan ke atasnya kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diganti dengan denda RM1,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Norsharidah Awang, mengetepikan hukuman penjara dikenakan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan oleh B Lisa Christina, 30, pada 22 April lalu.

"Saya mengambil kira pemohon (Lisa Christina) adalah pesalah pertama dan ibu tunggal, serta telah berada dalam penjara selama lapan hari. Saya harap ini akan menjadi pengajaran kepada kamu untuk mematuhi PKP.

"Jika awak ulangi kesalahan ini, saya tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman lebih berat. Oleh itu saya ketepikan hukuman penjara 30 hari dan mengenakan denda RM1,000 atau dua minggu penjara jika gagal bayar," katanya.

Lisa Christina yang sebelum ini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang membayar denda itu.

Pada 21 April lalu, wanita itu dijatuhi hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersama-sama tiga individu lain berhimpun dalam kawasan tempat berjangkit yang diwartakan di bawah Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Eksekutif pemasaran itu didakwa melakukan kesalahan di kawasan tangga taman permainan, Jalan SM1, Taman Subang Mas, Subang Jaya, kira-kira 4.45 petang pada 12 April lalu dan dihukum mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Lisa Christina berhujah, hukuman penjara ke atas anak guamnya keterlaluan dan majistret didakwa gagal mempertimbangkan anak guamnya adalah warga Malaysia, pesalah pertama, tiada rekod kesalahan lampau dan bukan pesalah jenayah berat yang selalu ingkar undang-undang.

"Anak guam saya dituduh berhimpun dengan tiga lelaki warga Indonesia di kawasan tangga di kediamannya dan sebelum ditahan, anak guam saya turun untuk beli minuman di kedai berhampiran taman permainan.

"Ketika nak naik ke rumahnya semula, anak guam saya ditegur oleh seorang daripada lelaki Indonesia tersebut dan ketika itulah polis menahannya.

"Selain itu, terdapat isu 'inconsistency' (tidak konsisten) membabitkan hukuman yang mana majistret pada hari sama hanya mengenakan denda RM1,000 untuk dua pesalah kes PKP lain. Jadi pemohon juga sepatutnya diberi hukuman denda," katanya yang turut dibantu peguam Datuk Suraj Singh.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahida Wan Omar, pula berhujah, hukuman penjara terhadap ibu kepada anak lelaki berumur enam tahun itu adalah berpatutan dengan mengambil kira keseriusan kesalahannya dan kepentingan awam.

Beliau berkata, majistret mengambil kira semua faktor mitigasi dalam memutuskan hukuman terhadap wanita itu dan mengenai dakwaan hukuman tidak konsisten, hujahnya, adalah tidak wajar untuk membandingkan hukuman ke atas Lisa Christina dengan kes-kes lain, yang mempunyai fakta berbeza.

Sumber Berita Harian : Seorang ibu tunggal didenda RM1000 langgar PKP

Darjat berbeza, Layanan Berbeza

Apa yang kita boleh lihat dengan mata nurani kita? Adalah Jelas bahawa terdapat perbezaan layanan dan denda. Kedua-dua adalah rakyat Malaysia yang mana adalah sama di mata undang-undang. Namun denda yang dikenakan adalah berbeza. RM 800 dan RM 1000 adalah angka yang berbeza iatu beza RM 200. 


RM 200 perbezaan adakah besar? ia adalah subjektif dan bergantung kepada situasi dan keadaan seorang melihat nilai RM 200 tersebut. Jika anda seorang yang berpendapatan RM 10,000 sebulan, angka RM200 mungkin seperti hanya bernilai amat sedikit kerana anda boleh mendapatkannya dengan mudah dan kesan kehilangan atau kerugian RM 200 tidak terasa.

Bagi orang yang susah, nilai RM 200 itu adalah sangat besar, kerana mereka tahu akan kesukaran untuk mendapatkan nilai berkenaan. RM 200 itu membolehkan mereka menampung hidup untuk seminggu dua. 

Apakah hujah atau alasan yang dijadikan sebagai sandaran sehingga terdapat perbezaan denda? Sedangkan ibu tunggal itu sudah dalam penjara 8 hari dan masih dikenakan denda RM 1000? Alasan yang diberikan oleh orang-orang di penthouse tingkat ke-100 keluar semasa PKP adalah atas jemputan Seorang Menteri. 

Mungkin ada pakar undang-undang yang boleh berikan penjelasan dan penerangan lanjut mengapa hal ini boleh berlaku. Jika tanpa penjelasan, dikhuatiri rakyat marhaen akan melihat ini sebagai satu ketidakadilan dan layanan yang tidak saksama dan akan melihat sistem kehakiman di Malaysia adalah tidak telus dan berat sebelah.

jangan sandangkan jawatan tinggi

takut nanti aku lupa diri

lupa segala janji-janji

aku tak mahu... jadi tanggang

tanggang moden- Lagu Antara Dua Darjat (Iqbal M)

Apa Kata Anda?



Latest posts in our blog

Read what's new this week
 

Adakah anda pernah mendengar isharefans? isharefans semakin popular dan trending di media sosial. Ramai yang mengongsikan isharefans adalah platform dapat menjana pendapatan dengan kerja yang mudah dan hanya dalam talian. Dalam artikel ini, kami akan mengulas tentang iShareFans dan pada akhir artikel, kami berikan pendapat kami adakah isharefans...

Pada hari ini, negara digemparkan dengan ura-ura pengisytiharaan darurat di Malaysia. Pada hari ini, Tan sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan perjumpaan dengan YDPA. Terdahulu, Muhyiddin bersama menteri Kabinet bermesyuarat selama tiga jam di Bangunan Perdana Putra pagi tadi.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah berkata dalam sidang media 20 oktober 2020, bahawa Pekerja sektor awam dan swasta diarah untuk bekerja dari rumah bermula khamis ini (22 Oktober 2020). Keputusan ini disebabkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 membabitkan pekerja di pejabat.

Malaysia telah dilanda wabak Covid-19 gelombang kedua dan kelihatannya lebih teruk daripada sebelumnya. Lantaran itu, bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia khususnya golongan B40, kerajaan telah melancarkan rangsangan ekonomi Bantuan Prihatin Nasional siri 2.0 atau BPN 2.0. Perkara ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan...

Wabak Covid-19 telah memberikan kesan yang buruk kepada perniagaan di seluruh dunia. Peniaga khususnya para peniaga kecil mempunyai kesukaran untuk mengekalkan perniagaan mereka. Insentif kerajaan Malaysia seperti Geran Khas Prihatin tidak dapat menampung semua peniaga kecil. Oleh yang demikian, para peniaga kecil terpaksa mencari alternatif lain.

Dunia pada masa kini masih lagi berdepan dengan masalah Wabak Covid-19. Vaksin virus ini masih lagi belum dihasilkan menyebabkan hampir semua negara masih menunjukkan peningkatan kes. Malaysia tidak terkecuali dan menunjukkan peningkatan kes yang sangat ketara malah merekodkan kes harian tertinggi berbanding sebelum ini. Pada 3 Oktober 2020,...