Rayuan Geran Khas Prihatin (GKP) : Panduan Penting Yang Anda Harus Tahu

04/06/2020

Semakan keputusan permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) telah dibuka pada 3 Jun 2020. Pemohon boleh membuat semakan di Portal GKP LHDN. Geran Khas sebanyak RM 3000 ini adalah untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS) yang mana pendapatan tahunan tidak melebihi RM 300,000 setahun.

Adakah anda salah satu daripada pemohon GKP ini? Apakah keputusan anda? Jika keputusan adalah TIDAK LULUS, Anda harus meneruskan pembacaan agar anda dapat panduan dan cara bagaimana untuk membuat rayuan semula GKP.

Dalam artikel ini, anda akan mengetahui bagaimana anda boleh membuat rayuan permohonan GKP, dokumen yang diperlukan untuk permohonan rayuan dan alasan status TIDAK LULUS permohonan GKP. 

Panduan Rayuan Semula Permohonan GKP

Geran Khas Prihatin (GKP) untuk perusahaan kecil Sederhana (PKS) mikro akan dibayar kepada pemohon yang telah layak pada penghujung Jun ini. Setakat ini, sebanyak 35,800 daripada 81,260 permohonan telah diluluskan. Ini bermakna lebih kurang 45,460 permohonan yang tidak lulus atau gagal. 

Bagi Pemohon berstatus tidak lulus, permohonan rayuan boleh dibuat semula secara dalam talian di Portal GKP bermula 3 Jun hingga 15 Jun 2020 iatu tinggal 4 hari lagi. Tiada permohonan Rayuan GKP secara manual di cawangan-cawangan LHDNM.

Apakah Dokumen yang Perlu Disediakan?

Anda perlu memuat naik dokumen sokongan mengikut jenis setiap kategori KOD alasan TIDAK LULUS. Terdapat 6 alasan mengapa permohonan GKP tidak lulus seperti berikut:

  1. Pekerja melebihi 4 orang 
  2. Tiada pendapatan - perniagaan dianggap tidak aktif
  3. Jualan melebihi RM300,000 
  4. VIP / Individu Berprofil Tinggi 
  5. Pasangan telah lulus 
  6. Tidak berdaftar dengan SSM / LHDNM / PBT 

Setiap alasan berkenaan memerlukan anda menghantar dokumen sokongan berikut:

Pekerja Melebihi 4 orang

  • Borang pendaftaran Majikan PERKESO/Borang Pendaftaran Pekerja PERKESO/Borang 8A PERKESO / Borang Permohonan Pendaftaran Majikan KWSP / Borang A KWSP/ Dokumen sokongan yang berkaitan

Tiada pendapatan - perniagaan dianggap tidak aktif dan Jualan Melebihi RM 300,000.

  • Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 2018/2019

VIP / Individu Berprofil Tinggi 

  • Pengakuan Pemohon/Surat Akuan 
  • Dokumen sokongan berkaitan

Pasangan telah lulus 

  •  Rujuk Jawapan di atas

Tidak berdaftar dengan SSM / LHDNM / PBT 

  • Sijil Pendaftaran Perniagaan

Mohon agar anda mengambil perhatian terhadap syarat dokumen yang ditetapkan oleh LHDNM semasa dalam proses memuat naik dokumen berkenaan. 

Setiap permohonan rayuan hanya dibenarkan memuat naik 3 lampiran dokumen sokongan yang bersaiz maksimum 2MB bagi setiap dokumen. Format dokumen yang dibenarkan adalah JPEG, JPG, PDF dan PNG sahaja.

Situasi yang TIDAK Layak Membuat Rayuan GKP

Malangnya tidak semua pemohon dapat membuat rayuan permohonan GKP. Jika situasi anda adalah seperti yang berikut, anda tidak dibenarkan untuk membuat rayuan semula.

  1. Melaporkan jumlah jualan melebihi RM300,000 pada borang permohonan GKP; 
  2. Pasangan telah membuat permohonan berasingan dan lulus GKP bagi perniagaan yang sama 
  3. Perniagaan didaftarkan pada tahun 2020 
  4. Perniagaan tidak berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) / Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) / Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum atau pada 31 Disember 2019.  

Ada yang bertanya, jika perniagaan A saya tidak lulus, adakah saya boleh menukar permohonan rayuan untuk perniagaan B? Malangnya, Pertukaran perniagaan bagi tujuan Rayuan GKP adalah tidak dibenarkan.

Permohonan GKP TIADA REKOD?

Bagaimana pula dengan status semakan permohonan GKP TIADA REKOD? Adakah boleh membuat rayuan permohonan GKP? LHDNM respon bahawa permohonan ini dikira sebagai permohonan baru dan tidak dibenarkan untuk rayuan semula.

Anda boleh merujuk tarikh-tarikh penting berkaitan dengan permohonan GKP ini di sini : Terkini: Tarikh Penting Keputusan, Pembayaran dan Rayuan Semula Geran Khas Prihatin GKP.

Maklumat Lanjut

Jika anda masih mempunyai keraguan dan pertanyaan berkaitan dengan Geran Khas Prihatin RM 3000 untuk PKS ini, anda boleh menghubungi talian LHDNM di Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara).

Panduan Mengisi Rayuan Semula GKP

Pihak LHDN telah menyediakan panduan dan langkah-langkah cara bagaimana untuk membuat permohonan rayuan semula dalam portal GKP berkenaan. Anda boleh mendapatkan panduan berkenaan di Pautan : Panduan Rayuan Pengguna GKP.


Trustpilot