Panduan Bagaimana Dapatkan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) secara Percuma

Semasa dalam tempoh PKP, ramai rakyat merungut dan terkejut dengan kenaikan bil elektrik yang mendadak. Mereka merasakan kenaikan tersebut tidak munasabah dan menuduh TNB mengambil kesempatan.
Tidak dinafikan bahawa memang akan dijangkakan bahawa bil elektrik akan meningkat kerana kebanyakkan pengguna berada di rumah sepanjang PKP dan penggunaan tenaga elektrik meningkat kerana penggunaan barangan elektronik seperti televisyen, kipas, penyaman udara dan sebagainya.
Namun begitu, netizen masih merasakan kenaikan bil adalah tidak munasabah. Terdapat juga rakyat yang masih mendapat kenaikan bil walaupun tidak mempunyai peralatan elektronik seperti aircond, ketuhar elektrik dan sebagainya.
TNB menjelaskan bahawa pengiraan bil tersebut adalah mengikut kaedah yang betul, malah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan tiada sebarang kesilapan berlaku dalam pengiraan bil oleh TNB yang didakwa melambung tinggi sepanjang tempoh tersebut dan memberitahu perkara itu kemungkinan berlaku disebabkan salah faham segelintir pengguna yang keliru dengan kaedah pengiraan dilakukan syarikat utiliti terbabit. Sinar Harian
DISKAUN BIL ELEKTRIK DI BAWAH PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI BERIKUTAN PENULARAN WABAK COVID-19
Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) yang diumumkan oleh Kerajaan pada 27 Februari 2020, enam (6) sektor perniagaan terpilih yang terjejas berikutan penularan wabak COVID-19 akan menerima diskaun 15% bagi penggunaan elektrik untuk tempoh 1 April sehingga 30 September 2020.
Pada 16 Mac 2020, Kerajaan telah memutuskan untuk memberi diskaun 2% kepada semua pengguna lain dalam kategori perdagangan, perindustrian dan pertanian spesifik serta pengguna domestik bagi penggunaan elektrik untuk tempoh 1 April sehingga 30 September 2020.
Pada 27 Mac 2020, di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat
(PRIHATIN), YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pemberian diskaun
tambahan kepada pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dengan memberi
tumpuan kepada pengguna yang menggunakan elektrik sehingga 600kWj atau
RM231.80 sebulan. Kadar diskaun adalah di antara 15% hingga 50% bergantung
kepada jumlah penggunaan elektrik masing-masing mulai penggunaan 1 April
hingga 30 September 2020.
Diskaun bil elektrik di bawah PRE2020 dan PRIHATIN adalah diberikan untuk tempoh
enam (6) bulan mulai penggunaan elektrik 1 April sehingga 30 September 2020 untuk
semua kadar diskaun.
Ini bermakna bagi bil elektrik yang diterima dalam bulan April dan meliputi penggunaan
elektrik untuk bulan Mac 2020 dan April 2020, diskaun akan dikira secara prorata
berdasarkan penggunaan dalam bulan April 2020. Sekiranya bil yang diterima dalam
bulan April 2020 hanya meliputi penggunaan sehingga 31 Mac 2020, tiada diskaun
yang akan diterima oleh pengguna bagi bil tersebut.
Bantuan Prihatin Elektrik (BPE)
Walaupun dengan adanya Diskaun Bil Elektrik pada awal tempoh PKP, masih terdapat rungutan daripada pengguna. Oleh yang demikian, pada hari ini, kerajaan mengumumkan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan berjumlah RM942 juta kepada 7.66 juta pengguna elektrik dalam kategori domestik di Semenanjung bagi mengurangkan beban mereka ekoran peningkatan bil yang dialami sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah tersebut, seramai empat juta pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan RM77 ke bawah atau penggunaan elektrik 300kWj ke bawah akan menikmati bekalan elektrik secara percuma bagi bulan April, Mei dan Jun 2020.
Jom kita ketahui maklumat dan panduan Bantuan Prihatin Elektrik ini.
1. Apakah Bantuan Prihatin Elektrik (BPE)?
BPE adalah pakej bantuan tambahan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia bersama TNB kepada semua pelanggan domestik dalam bentuk manfaat penggunaan elektrik percuma sehingga RM77 sebulan, bersamaan penggunaan elektrik sehingga 300kWj pertama untuk tempoh 3 bulan pelaksanaan PKP.
Di samping itu, bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik di antara 601 - 900 kWj sebulan akan menikmati diskaun tambahan sebanyak 10% iaitu tambahan 8% daripada kadar diskaun sedia ada sebanyak 2% mulai bulan April 2020 hingga September 2020.
2. Apakah perbezaan antara Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) ini dengan diskaun PRIHATIN?
Diskaun Prihatin diberikan kepada para pelanggan bermula April 2020 sehingga September 2020, manakala BPE adalah bantuan tambahan yang diberikan secara sekali gus bagi meringankan beban kenaikan bil yang lebih tinggi sepanjang April 2020 hingga Jun 2020 yang dihadapi para pelanggan.
3. Siapakah yang layak menerima BPE?
Semua pelanggan domestik TNB akan menerima BPE yang jumlahnya akan dimasukkan secara sekaligus ke dalam bil bulan Julai 2020.
4. Bagaimanakah saya boleh menyemak kelayakan saya, ahli keluarga atau penyewa rumah untuk menerima BPE?
Pelanggan tidak perlu membuat semakan kelayakan kerana BPE akan diberikan secara automotik kepada semua pelanggan domestik.
5. Saya adalah pelanggan Meter Pintar, adakah saya layak menerima BPE?
Semua pelanggan domestik akan menerima BPE ini, termasuklah pelanggan smart meter.
6. Adakah pelanggan komersial, perindustrian dan pertanian juga layak menerima BPE?
BPE ini hanya diberikan kepada pelanggan domestik TNB yang terkesan akibat bil elektrik yg lebih tinggi daripada kebiasaan pada bulan April 2020, Mei 2020 dan Jun 2020. Walau bagaimanapun, pelanggan komersial, perindustrian dan pertanian masih menikmati diskaun Prihatin dari April 2020 sehingga September 2020 yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
7. Adakah saya perlu memohon untuk menerima BPE?
Pelanggan tidak perlu membuat sebarang permohonan untuk menikmati manfaat bantuan tambahan ini yang akan diberikan secara otomatik.
8. Mengapa BPE hanya mengambil kira bil April 2020 - Jun 2020?
TNB sedar bahawa sepanjang pelaksanaan PKP, berkemungkinan penggunaan elektrik adalah lebih tinggi daripada kebiasaan. Oleh itu, BPE diberikan secara sekali gus kepada semua pelanggan bagi membantu mengurangkan bebanan bil yang lebih tinggi.
9. Mengapa bantuan ini tidak diberikan lebih awal semasa Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Pakej Rangsangan Ekonomi dan hanya diberikan setelah saya menerima bil yang tinggi?
Pada awal permulaan PKP, diskaun PRIHATIN telah diberikan bermula April 2020 sehingga September 2020. Atas dasar keprihatinan Kerajaan Malaysia, BPE diberikan kepada para pelanggan yang terbeban dengan jumlah bil yang lebih tinggi dengan harapan dapat mengurangkan beban kewangan para pelanggan.
10. Siapakah yang memberikan BPE, adakah TNB atau Kerajaan?
BPE merupakan bantuan tambahan oleh kerajaan Malaysia dengan kerjasama TNB yang bertujuan untuk meringankan beban para pelanggan yang terkesan akibat kenaikan bil elektrik yang lebih tinggi.
11. Adakah saya akan menerima BPE ini dalam bentuk wang tunai?
Pelanggan akan menikmati bantuan tambahan BPE ini yang akan dimasukkan ke dalam bil bulan Julai 2020 secara sekali gus.
12. Adakah terdapat kesilapan pada pengiraan bil yang diberikan sebelum ini?
Kaedah pengiraan bil yang dibuat oleh TNB telah disemak serta diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga. Kaedah ini juga merupakan kaedah lazim yang turut digunapakai oleh syarikat-syarikat utiliti elektrik terkemuka di seluruh dunia.
13. Premis saya tidak berpenghuni selama ini dan dikenakan cas minima sebanyak RM3. Adakah saya juga layak menerima BPE?
Ya, BPE ini akan diberikan kepada semua pelanggan domestik termasuk pelanggan yang telah dikenakan cas minima.
14. Bagaimanakah BPE dikira?
Semua pelanggan domestik akan menikmati bantuan tambahan BPE. Di bawah Bantuan Prihatin Elektrik, kesemua 7.66 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia yang mempunyai akaun dengan TNB akan menerima manfaat penggunaan elektrik percuma sehingga RM77 sebulan, bersamaan penggunaan elektrik sehingga 300kWj pertama. Bantuan ini diberikan untuk tempoh 3 bulan pelaksanaan PKP iaitu bulan April 2020, Mei 2020 dan Jun 2020 yang membolehkan pengguna menerima manfaat sehingga RM231 bagi tempoh 3 bulan tersebut.

Nota:
- Bantuan ini merupakan tambahan kepada diskaun elektrik di bawah Pakej Ransangan Ekonomi (PRE) sedia ada dan akan dimasukkan secara sekaligus dalam bil Julai 2020
- Sekiranya pengguna telah membuat bayaran pada bulan April, Mei dan Jun, lebihan bayaran untuk ketiga-tiga bulan tersebut akan dikreditkan ke dalam bil Julai 2020
- Untuk penggunaan elektrik di antara 601 - 900 kWj sebulan, diskaun tambahan 8% akan diberikan bermula April hingga September 2020
15. Saya masih menerima bil anggaran, bagaimanakah saya boleh mendapatkan bil sebenar?
Pelanggan tidak perlu risau. Sekiranya pelanggan tidak mendapat bacaan bil sebenar, pelanggan boleh menghubungi TNB Careline untuk mengatur temu janji untuk pembaca meter mengambil bacaan meter di premis pelanggan. Pelanggan juga boleh mengambil bacaan meter sendiri dan memajukan gambar bacaan meter melalui emel TNB Careline, tnbcareline@tnb.com.my. Bil sebenar akan dikeluarkan selepas itu.
16. Berdasarkan bil bulan sebenar Jun 2020 saya, berapakah jumlah BPE yang saya akan terima pada bulan Julai 2020 nanti?
Bantuan ini diberikan untuk tempoh 3 bulan pelaksanaan PKP iaitu bulan April 2020, Mei 2020 dan Jun 2020 yang membolehkan pengguna menerima manfaat sehingga RM231 bagi tempoh 3 bulan tersebut. Jumlah sebenar BPE akan tertera di dalam bil Julai 2020.
17. Bagaimana boleh saya tahu jumlah BPE yang saya terima pada bil Julai saya?
Jumlah BPE diterima akan tertera di dalam bil bulan Julai 2020 nanti.
18. Bagaimana BPE disalurkan kepada pengguna?
Jumlah BPE akan dimasukkan sekali gus di dalam bil sebenar pada bulan Julai 2020.
19. Jika saya menggunakan 601-900kWj adakah saya akan menerima BPE?
Semua pelanggan domestik layak menerima manfaat BPE.
Di samping itu, pelanggan domestik yang telah menggunakan antara 601 - 900 kWj sebulan akan menikmati diskaun tambahan sebanyak 10% iaitu tambahan 8% daripada kadar diskaun sedia ada sebanyak 2% mulai bulan April 2020 hingga September 2020.
20. Berapa kali BPE boleh diterima oleh saya?
BPE adalah satu bantuan tambahan yang diberikan secara sekali gus untuk meringankan beban pembayaran bil elektrik semasa PKP untuk tempoh 3 bulan iaitu April 2020, Mei 2020 dan Jun 2020.
21. Bagaimanakah BPE akan memberi kesan kepada jumlah EPP yang perlu saya bayar kelak?
BPE akan membantu mengurangkan jumlah bil tunggakan dan amaun EPP akan dikemaskini secara otomatik setiap bulan sehingga Disember 2020.
22. Bolehkah saya menggunakan BPE untuk menyelesaikan amaun tunggakan yang lepas?
Boleh. BPE adalah satu bantuan tambahan yang diberikan secara sekali gus untuk meringankan beban pembayaran bil elektrik untuk tempoh 3 bulan, iaitu April 2020, Mei 2020 dan Jun 2020.
23. Bilakah BPE akan dilaksanakan?
Manfaat BPE akan dimasukkan secara sekali gus di dalam bil bulan Julai 2020.
24. Adakah BPE masih diteruskan selepas bulan Julai 2020?
Tidak. BPE adalah bantuan tambahan yang diberikan secara sekali gus bagi meringankan beban kenaikan bil yang lebih tinggi pada bulan April 2020, Mei 2020 dan Jun 2020 yang dihadapi para pelanggan.
25. Dimanakah saya boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai BPE?
Pelanggan boleh mendapatkan maklumat melalui;
- Melayari laman sesawang TNB di www.tnb.com.my/prihatin atau e-mel tnbcareline@tnb.com.my
- Menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454.
- Mengunjungi mana-mana Kedai Tenaga berhampiran.
Dapatkan Infografik Bantuan Prihatin Elektrik.
Tonton Video Infografik Bantuan Prihatin Elektrik yang telah disediakan oleh Astro Awani.