Adakah iShareFans Legit atau Scam? Hanya Like dan share boleh dapat duit

26/10/2020

Isharefans: Benar atau Scam
Isharefans: Benar atau Scam

Adakah anda pernah mendengar isharefans? isharefans semakin popular dan trending di media sosial. Ramai yang mengongsikan isharefans adalah platform dapat menjana pendapatan dengan kerja yang mudah dan hanya dalam talian. Dalam artikel ini, kami akan mengulas tentang iShareFans dan pada akhir artikel, kami berikan pendapat kami adakah isharefans ini benar atau scam semata-mata. Pastikan anda membaca sampai habis!

Ramai orang merasakan kesusahan terutama dari segi kewangan disebabkan Pandemik COVID-19. Wabak COVID-19 bermula pada awal tahun dan pada hari ini, wabak ini masih lagi berlangsung. Malaysia menghadapi gelombang ketiga dan semakin ramai orang yang kehilangan pendapatan.

Keadaan ini menyebabkan ramai scammer di mengambil peluang ke atas desakan orang untuk mencari pendapatan dengan menawarkan peluang menjana kewangan secara mudah ataupun dalam talian. Anda harus bijak untuk menilai setiap tawaran yang diberikan kepada anda.

Bermula pada pertengahan awal bulan ogos, terdapat kongsian di laman facebook dan whatsapp yang menyatakan terdapat satu laman web yang menawarkan peluang menjana pendapatan dengan kerja yang sangat mudah. Laman web berkenaan adalah www.isharefans.com.

Sebelum ini Admin ada membuat review berkenaan dengan MIDJOBS, yang mana pada hari ini, setelah ramai individu yang terperangkap, MIDJOBS telah menutup laman webnya tanpa notis dan meninggalkan ramai orang kerugian. Anda boleh melihat artikel kami di sini. Adakah Midjobs Sahih atau Scam? Hanya Tonton Video Untuk Dapatkan Bayaran?

Mengapa dengan iShareFans? Admin tergerak untuk meneliti kerana terdapat red flag atau alert terhadap isharefans kerana modus operandinya adalah hampir sama. Jom kita sama-sama meneliti dan menilainya.

Pada mulanya isharefans menggunakan domain www.isharefans.com tetapi mereka berpindah ke isharefans.net dan Isharefans.vip. UPDATE : kini terdapat laman web yang lain yang sama iatu aikecity.com/ (Link di sini)

Apakah Isharefans?

Isharefans adalah satu laman yang menyediakan peluang menjana pendapatan dengan membuat beberapa tugasan seperti like, follow dan share laman media sosial yang paling popular kini iatu TikTok, Facebook, instagram dan Youtube. Para pemilik akaun TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube akan menggunakan perkhidmatan Isharefans untuk menambahkan like, share dan follower. Para Ahli Isharefans pula akan like,share dan follow pemilik akaun media sosial berkenaan dengan kadar bayaran RM 1 satu tugasan. Isharefans lebih kurang menjadi orang tengah yang menghubungkan "pencari Liker dan Sub" kepada ahli Isharefans.

Siapakah Pemilik Isharefans?

Berdasarkan kepada maklumat yang terdapat dalam laman web isharefans, ia dimiliki oleh satu syarikat berdaftar di Malaysia aitu E & M E-COMMERCE SDN. BHD dengan no pendaftaran syarikat 201701019436. 

Semakan sijil pendaftaran syarikat di SSM menyatakan ia adalah sah dan masih aktif sehingga sekarang. Namun jika sijil sahaja ia tidak menunjukkan bahawa sesuatu syarikat itu menjalankan aktiviti perniagaan yang salah atau tidak. Sijil SSM adalah boleh diibaratkan dengan sijil lahir, yang belum pasti menentukan orang tersebut baik atau tidak. setuju ke tak setuju?

Berdasarkan kepada maklumat yang terdapat dalam laman web mereka, "perniagaan" ini dimiliki oleh syarikat berdaftar atas nama E&M E-COMMERCE Sdn. Bhd dengan nombor pendaftaran 201701019436 (1233601-H). Mengikut semakan (Kos RM30 tau) yang kita telah buat di portal E-SSM, syarikat ini berdaftar dan masih aktif sehingga sekarang . 

Carian di google menunjukkan beberapa hasil carian. Antara maklumat yang kita boleh ketahui berdasarkan carian google adalah ia beralamat di negeri Perak, didaftarkan pada 02 JUNE 2017. Pada gambar 2, kita dapat melihat yang mengaitkan Company ini dengan www.mongirl.com, kelihatan seperti laman web yang menjual produk-produk kecantikan secara dalam talian. 

Kedua-dua website ini menggunakan nama Company yang sama, dan alamat yang sama iatu di kampar, Perak, Ada orang sana yang boleh halo-halo dan check?

Persamaan yang kedua adalah Website dalam bahasa Cina, tak berapa faham, hehe..kebetulan isharefans pun dwi bahasa yang gunakan bahasa Cina dan English. mungkin hanya kebetulan? Mungkin pemilik bagi kedua website ini adalah orang yang sama? 

Namun Mongirl.com sudah wujud lebih lama iatu bermula pada tahun 2011 lagi. Manakala syarikat E&M Commerce berdaftar pada 2017. Tetapi tidak mustahil sebab website boleh diwujudkan walaupun belum mempunyai lesen pendaftaran perniagaan.

Penyelidikan terkini kami mendapati bahawa syarikat E&M Commerce Sdn Bhd ini hanya mempunyai Paid Capital atau orang bilang Modal RM 50,000.00 sahaja dan dimiliki oleh seorang warga Malaysia. Terdapat perubahan nama pemegang saham pada awal bulan Mac 2019. Kami tidak mendedahkan dokumen berkenaan disebabkan tertakluk kepada akta perlindungan data. Jika anda ingin mendapatkan dokumen maklumat syarikat berkenaan, anda boleh pergi  ke https://info.basisnet.com.my/  dengan kos RM20-RM30 sahaja. Mana la tau senang nak CARI di masa hadapan., kan2.

bilakah isharefans ini bermula? jom kita lihat usia website atau platform yang mereka gunakan. kita boleh mengetahui usia sesuatu nama domain itu dengan mudah. Anda hanya perlu ke https://whois.domaintools.com/ dan taip atau pastekan www.isharefans.com ke dalam ruangan carian. 

Berdasarkan kepada maklumat di atas, kita dapat mengetahui bahawa isharefans ini baru dilancarkan pada 20 Ogos 2020 yang mana sehingga hari ini baru berusia 69 hari. Kemaskini terakhir adalah pada 10 Oktober 2020. Mereka menggunakan banyak nama domain. Namun mengikut pemerhatian kami, mereka menggunakan tiga domain iatu www.isharefans.com, www.isharefans.net (tidak dapat diakses, sama ada telah ditutup atau pindah domain, semakan 16 Nov 2020) dan www.aikecity.com untuk promosi, manakala www.isharefans.com dan www.isharefans.vip adalah untuk member login membuat task.

Bagaimana Isharefans Membuat Duit?

Satu syarikat yang membuat perniagaan semestinya mahukan pendapatan dan keuntungan, betul? itulah tujuan utama sesuatu perniagaan kecuali perniagaan hanya digunakan untuk "cuci duit", yang tidak mengambil berat berapa keuntungan, perniagaan hanya sebagai alat untuk pengalihan dan pencucian dana haram. Itu kita sentuh di artikel yang lain.

Okey, So bagaimana Isharefans ini menjana pendapatan? Isharefans menyediakan perkhidmatan atau penjualan like dan share kepada para influencer atau pemilik akaun TikTok, Facebook, Instagram dan youtube yang mahu meningkatkan jumlah follower, subscriber dan view. 

Influencer akan membayar sejumlah wang untuk satu like,share follow atau subscribe. Isharefans pula akan meminta ahli mereka melakukan task iatu like, share dan follow dan membayar mereka(ahli) sebanyak RM1 untuk satu tugasan.

Jika mahukan keuntungan, semestinya isharefans akan charge influencer lebih daripada RM 1 untuk satu like, share dan sub, betul? Jom kita lihat perkhidmatan yang seumpama dengan isharefans untuk kita buat perbandingan harga.

Jika kita melihat gambar di atas, kita ambil contoh instagram likes yang paling mahal ialah RM20.64 per 1000. Untuk satu like instagram, ia adalah berharga RM 0.02064. Murah kan. begitu juga dengan like TikTok dan Youtube, hanya berharga di bawah RM.0.10 untuk satu view Tiktok dan Youtube. Nak tengok lanjut senarai harga boleh ke sini.

Di shopee pun ramai yang jual perkhidmatan naikkan follower ni. Rujuk gambar keempat dalam slideshow di atas tu. Bagi follower instagram 10K, ia dijual sebanyak RM90, maksudnya untuk satu follower, ia adalah berharga RM0.009 sahaja. Sangat murah kan. So jika anda adalah seorang influencer atau peniaga, yang mahu naikkan follower, ,likes, view atau subscriber, mana pilihan yang bijak? 

Eh, ni untuk area Malaysia mungkin memang murah kot. Jom kita tengok harga package untuk luar negara pula. Mahal ke murah. Kalau kita tengok kat gambar di bawah, yang ditawarkan oleh Mr.Insta, ia adalah berbentuk langganan bulanan iatu 20usd sebulan atau RM84 sebulan. Tiap hari akan dapat 15 follower, dan untuk sebulan akan dapat follower lebih kurang 450 follower. so untuk satu follower ia lebih kurang berharga RM 0.336 sahaja. masih murah berbanding isharefans.

So bagaimana proses influencer atau pemilik media sosial nak pakai service isharefans? nak contact CS mereka, reply sangat lambat dan hampir tak respon..Adalah yang suggest gunakan business hall tu. jadi kita pun nak tahu sekali nak usha-usha. berikut screenshot di business hall isharefans tu.

Terdapat empat jenis media sosial yang boleh digunakan di sini iatu Tiktok, Instagram, Facebook dan youtube. kita boleh setla dan berikan link yang kita nak naikkan view, follower atau subscriber. Siapa yang join jadi member tu dan ada pendapatan, anda boleh cuba gunakan peluang ini untuk naikkan follower facebook gaming anda (tidak digalakkan, kenapa? baca selanjutnya)

Cuma ada dua hal yang menarik perhatian iatu bahagian penetapan harga dan cara pembayaran perkhidmatan ini. Anda sendiri boleh setkan harga pertask dan task quantity, dan sistem mereka akan auto kira jumlah harga total task. Contoh di atas, saya setkan harga pertask adalah RM 0.0001, dan kuantiti task yang saya inginkan adalah 10000 task). harga keseruluhan task yang mereka akan charge adalah hanya RM 0.11 sahaja untuk 10000 task tersebut. syarikat akan ambil service charges 10% iatu hanya RM 0.01 dan RM 0.10 untuk member yang membuat task, maka RM 0.10 inilah yang akan dibahagikan oleh 10000 member. seorang dapatlah bahagian RM 0.00001. So persoalan saya, bagaimana syarikat akan bayar baki 0.9999 kepada member (kan satu task RM1). Hal ini boleh merugikan syarikat itu sendiri. Mungkin lebih mudah jika pihak isharefans tetapkan harga sendiri harga pertask untuk influencer, kan akan lebih jelas, dan tidak buang masa jika harga yang ditawarkan oleh influencer akan ditolak. Fokus promosi sepatutnya ditumpukan di bahagian sini, jika ini adalah sumber pendapatan utama syarikat.

Yang kedua adalah bayaran perkhidmatan ini akan ditolak daripada baki e-wallet anda. Maknanya, jika influencer nak gunakan perkhidmatan mereka, mereka kena register dahulu sebagai ahli, buat kerja dahulu (nak tambahkan baki e-wallet) atau upgrade member jika mahu baki e-wallet banyak terus. sudah ada duit dalam e-wallet, barulah boleh  Kalau nak gunakan perkhidmatan mereka (sebagai influencer) tanpa register dan top up e-wallet dalam akaun isharefans dulu boleh ? 

Namun jika anda adalah seorang influencer samaada youtuber atau gunakan facebook, menggunakan pihak ketiga untuk menaikkan follower anda atau subscriber anda adalah bukan tindakan bijak, kerana akaun anda boleh diban oleh pihak youtube/google atau facebook, malah memberikan kesan buruk kepada akaun anda. Rujuk dibawah.

Instagram kills off fake followers, threatens accounts that keep using apps to get them

Buy Facebook Likes and You Will Damage Your Business! Our Data Proves It (Do This Instead)

Lihat keterangan youtuber ini yang mana video beliau tanpa sengaja telah dipromote oleh isharefans. Siapalah yang letak link beliau kat isharefans. Beliau menafikan ada menggunakan isharefans untuk menaikkan view atau subscriber beliau. Takkan isharefans ambil begitu saja link untuk dibuat sebagai task. Ini adalah tanda-tanda yang meragukan.

So, Penjanaan pendapatan kedua@utama isharefans adalah dengan penjualan pakej kepada para ahli. Pakej ini berbeza harga dan bergantung kepada jumlah task yang boleh dibuat sehari. makin tinggi pakej, makin banyak task yang boleh dibuat dalam sehari dan makin banyaklah duit masuk dalam sehari. Jom kita tengok senarai pakej tersebut.

Bagaimana Ahli akan Mendapat Duit Dengan Isharefans?

Ahli Isharefans dijanjikan akan dibayar RM 1 hingga RM 3.80 untuk satu tugasan mengikut pakej yang dilanggan. Namun terdapat had tugasan yang diberikan mengikut pakej tersebut iatu 3 task sehari (Pakej free) hingga 101 kali untuk sehari. Mereka menjanjikan bahawa duit modal (pembelian pakej) akan kembali semula hanya dalam masa sebulan dan menjana keuntungan. Selain itu, mereka juga menawarkan komisen refferal (downline anda) mengikut level (mengikut jumlah downline) anda.

Anda perlu screenshot bukti task anda telah selesai dan upload@hantar dalam apps berkenaan. Task anda akan disemak dan pembayaran akan dikreditkan ke akaun isharefans anda jika berjaya.

Bagaimana untuk mendapat Bayaran daripada Isharefans?

Untuk melayakkan anda untuk dibayar, jumlah wang dalam akaun isharefans anda haruslah melebihi RM199 (bagi akaun percuma) barulah anda layak untuk withdraw. Sebelum ini syarat hanyalah RM99 tetapi dinaikkan. Mungkin ramai sangat yang capai target, so kena naikkan kepada RM199, maksudnya kena usaha lagi selama dua bulan, baru dapat RM199 (bagi pakej free). Bagi pakej VIP, minimum RM100 dalam akaun bagi membolehkan anda cashout duit anda. Proses withdrawal akan mengambil masa 48 jam dan akan dimasukkan dalam akaun yang telah didaftarkan dalam apps berkenaan. 
Maklumat terkini yang diperolehi adalah mereka@isharefans telah naikkan had pengeluaran pada peringkat ketiga, iatu pakej gold perlu mempunyai baki RM 199, Baru dapat withdrawal. sebelum ni pakej gold boleh keluarkan duit dengan had RM 100. Bijak kan strategi mereka untuk kekalkan anda dalam permainan ini.

 Red Alert iShareFans

1. Operasi Seperti MIDJOBS

Anda pernah mendengar midjobs? Midjobs popular di filipina dan indonesia suatu ketika dulu. Ia masuk ke dalam Malaysia mungkin dalam penghujung tahun 2020 dan menjadi popular ketika awal wabak pandemik COVID-19 melanda dunia. Ia juga hampir sama iatu menawarkan tugas untuk menonton video di youtube dan akan dibayar. ia turut mempunyai pakej yang serupa iatu jumlah task sehari adalah dihadkan mengikut pakej yang anda beli. 

Dan pada awal bulan Jun 2020, Midjobs telah menutup laman web dan akaun media sosial dan meninggalkan ramai yang kerugian kerana duit modal yang dilaburkan hilang begitu sahaja. Cara operasi kedua-dua platform (isharefans dan midjobs) menjana duit sampingan mudah adalah hampir sama. Baca sini : Adakah Midjobs Sahih atau Scam? Hanya Tonton Video Untuk Dapatkan Bayaran?

2. Anda tidak akan dibayar jika Anda adalah Ahli Biasa

Sebagai ahli biasa, anda akan diberikan jumlah task yang terhad iatu 3 task sehari, dan boleh menjana RM 90 sebulan. Selepas hampir sebulan beroperasi, isharefans telah menaikkan had pengeluaran bagi ahli biasa kepada RM199, iatu memerlukan 2 bulan 7 hari untuk mengumpulkan RM199. 

Maklumat terkini yang telah diterima adalah, ahli biasa tidak akan mendapat bayaran kecuali anda  membeli pakej VIP bagi membolehkan anda dibayar. Boleh ke pendapatan terkumpul semasa ahli biasa digunakan untuk beli Pakej VIP? jawapannya adalah tidak, anda harus membeli pakej VIP terlebih dahulu. Jika ada yang boleh upgrade VIP dengan menggunakan pendapatan terkumpul ketika jadi ahli biasa, anda boleh respon di ruangan komen.

3. Isharefans Kelihatan seperti Skim PONZI.

Model perniagaan ini memberi saya petunjuk bahawa Isharefans bukan sahaja merupakan skim piramid tetapi juga skim Ponzi. Ringkasnya, ini bermaksud bahawa wang yang dibayar oleh ahli baru digunakan untuk pembayaran kepada peserta awal.

Dengan cara ini pemilik dapat mengekalkan skim ini untuk sementara waktu tanpa ada ahli yang bising bahawa mereka tidak mendapat bayaran wang yang dijanjikan.

Memperolehi pembayaran pertama meyakinkan anggota pertama bahawa ini adalah perniagaan yang sah, jadi mereka ingin menaik taraf pelan dan membawa lebih banyak orang untuk masuk menjadi downline mereka.

Oleh itu, akan lebih banyak wang mengalir ke dalam sistem dan ia terus bertambah, sehingga suatu hari pemiliknya hilang dengan semua wang, seperti yang berlaku dengan Midjobs.

4. Tiada Terma dan Syarat yang Jelas

Jika anda hendak melabur dengan bijak, anda harus memeriksa apakah terma dan syarat perniagaan yang anda hendak buat pelaburan, kerana anda ingin tahu apakah tanggungjawab peniaga dan anda. Jika anda tidak membuat usul periksa terlebih dahulu, kemungkinan anda akan ditipu dan kerugian. Pelaburan membuta tuli dan "berani mati" adalah tindakan kewangan yang tidak bijak. 

5. Maklumat Pemilik tidak jelas.

Maklumat pemilik dan perhubungan yang boleh didapati hanyalah nama syarikat iatu E&M E-Commerce Sdn Bhd dan No perhubungan Customer services, selain daripada itu, tiada maklumat lain.

Carian di media sosial juga agak kurang, untuk instagram, akaun ini https://www.instagram.com/isharefans/ kelihatan seperti yang rasmi, namun post hanyalah satu dan bertarikh 7 oktober. Ia mengikuti akaun-akaun instagram yang kelihatan seperti akaun instagram yang ada dalam tugasan anda. cuba semak.

Carian di Facebook pula menemukan group Isharefans Malaysia Official yang diwujudkan oleh Arisha Kayra pada 11 Oktober 2020. Kini Kumpulan ini dianggotai lebih kurang 5K semasa artikel ini ditulis. 

Carian secara talian bagi nama pemilik syarikat tersebut tidak menemukan apa-apa seolah pemilik itu tidak wujud di dunia maya. Mungkin beliau tidak ingin ditemui di alam maya. Pencarian secara offline mungkin boleh digunakan dengan menggunakan alamat pendaftaran syarikat. 

6. Payment Gateway yang diragui (Update 22 Nov 2020)

Isharefans telah upgrade proses recharge atau top Up E-wallet dengan menggunakan transaksi online. Sebelum ini adalah secara manual, iatu ahli transfer atau deposit ke akaun syarikat dan upload bukti pembayaran.

Kini, para ahli boleh membuat pembayaran melalui payment gateway yang digunakan mereka. Namun kami sangat was-was dan mempunyai keraguan yang tinggi. Mengapa? kerana payment gateway yang digunakan tidak dikenali. Mereka menggunakan gateway daripada gzshop318.com. saya tak p-pernah dengar pula. carian di google berkaitan pula tidak menunjukkan apa-apa maklumat tentang syarikat ini. 

Jika anda tak tahu service payment gateway ini, anda boleh lihat seperti ipay88, adyen, Senangpay. Penyedia perkhidmatan pembayaran dan penerimaan bayaran secara dalam talian di Malaysia yang dipercayai. Anda boleh bandingkan sendiri. gzshop318 pula, sebarang maklumat pun tak ada. Laman web www.gzshop318.com pun kosong sahaja. 

Jika dibandingkan pembayaran di Shopee misalnya untuk pembayaran online, bila klik pembayaran, ia terus pergi ke Laman Login Bank. Yang ini pula ia pergi ke laman web yang tidak dikenali dan login akaun bank anda adalah sangat berisiko, kemungkinan maklumat login bank anda akan bocor. Kami sangat-sangat tidak sarankan anda buat pembayaran secara dalam talian. JANGAN gunakan pembayaran secara dalam talian di dalam platform isharefans ini.

Kesimpulan.

Pada pendapat saya, isharefans mempunyai tanda-tanda yang terlalu banyak sebagai skim ponzi dan piramid berbanding sebagai syarikat sebenar dengan potensi pendapatan serius bagi ahlinya. Sekurang-kurangnya, terdapat persamaan dengan Midjobs yang amat membimbangkan.

Bagi yang menyatakan, Saya telah berjaya withdraw, dan dapat duit saya kembali dan mendapat untung. Ya, tidak menghairankan kerana Orang terawal dalam sistem seperti ini pasti akan dibayar kerana sistem ini akan memberikan gambaran pertama bahawa ia boleh membayar dan benar. 

Namun malang bagi orang yang menjadi terakhir kerana anda berkemungkinan akan kerugian kerana sistem seperti ini bila-bila akan runtuh. Terdapat dua kemungkinan bagaimana sistem ini akan runtuh, Pertama apabila tiada orang yang membeli pakej lagi, dan kedua apabila pemilik sistem merasakan ia sudah cukup untung. 

Untung yang anda miliki mungkin adalah milik wang orang lain yang membeli pakej tersebut. Saya sangsi ada influencer atau youtuber yang sanggup mendapatkan perkhidmatan isharefans dengan harga yang begitu tinggi dan risiko akaun diban. 

Apabila sistem ini runtuh, tidakkah anda mempunyai rasa bersalah apabila keuntungan anda adalah daripada kerugian orang lain? Ia searas dengan perjudian, kemenangan anda adalah hasil daripada kerugian orang lain. perjudian adalah dilarang oleh semua Agama.

Saya sangat faham mengapa anda juga seperti saya turut mencari kaedah mudah untuk menjana pendapatan tambahan dalam talian. Semua orang ingin mendapatkan wang dari rumah. Namun anda perlu berhati-hati dalam membuat pilihan kerja secara dalam talian ini.  Keputusan akhir adalah di tangan anda dan akan menjadi tanggungjawab anda sendiri. PILIH DENGAN BIJAK!

Ini Review oleh @Pelaburbijak di thread Twitter yang sependapat dengan kami.

Baca Ini Juga Ya...

Ramai yang bertanya berkenaan satu bisnes yang katanya share dan like serta dapat upah. Sekali pandang, agak banyak...

Posted by Dr. Zaharuddin Abd Rahman on Sabtu, 14 November 2020

Ini Pula Komen Pakar IT berkaitan dengan isu keselamatan Data peribadi anda seperti Maklumat Perbankan anda. Risiko kecurian data adalah sangat tinggi dalam Laman web isharefans ini. Bagaimana nak padamkan akaun dalam iShareFans ni? anda boleh cuba hubungi CS isharefans (harap anda berjaya) atau boleh menghubungi Jabatan Perlindungan Data Peribadi untuk Info dan Nasihat. Anda juga boleh  membuat aduan dan maklum balas kepada pihak berwajib (Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia).

-Permulaan Data Leaked atau Data Breach- . isharefans, isharedfans, yang makin popular. Sama ada mempunyai [dot]com,...

Posted by Syahmi Suleiman on Jumaat, 13 November 2020

Latest posts in our blog

Read what's new this week
 

Ramai rakyat Malaysia yang terkesan dengan wabak Covid-19 seperti kehilangan pendapatan atau terjejas sebahagian pendapatan. Kerajaan Malaysia prihatin dengan kesusahan rakyat. Sebelum ini, terdapat cadangan agar duit caruman Akaun 1 KWSP boleh dikeluarkan bagi meringankan beban kewangan rakyat.

Nepal sebut sahaja sudah terbayang kawasan pergunungan dan tempat dimana everest terletak. Siapa tak kenal gunung yg terkenal dalam kalangan pendaki dan bukan pendaki juga mengenali gunung itu. Justeru itu, ia terus menaikkan industri mendaki di nepal. Nepal merupakan pintu masuk ke kawasan pergunungan Himalaya. Dan Nepal juga tempat dimana 8...